Showing posts with label Bab Feqah. Show all posts
Showing posts with label Bab Feqah. Show all posts

Tuesday, February 3, 2009

Kelebihan Berpuasa Hari Asyura (10 Muharram)

Muharram Menjelang Lagi

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa.

Malah dalam mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

Kelebihan

Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.

Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."

Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Asyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura!".

Bezakan Puasa Dengan Orang Yahudi

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

Sejarah 10 Muharram

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukha syafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:

(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamat Musa dan pengikutnya.
(9) Lemas Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa kelangit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

Semoga dengan sedikit info ini akan mengerakkan lagi hati kita untuk terus beramal kepadaNya walaupun di keadaan yang sibuk dengan sebarang urusan sekalipun... Wallahu A'lam...

"Ballighu anni walau ayah", maksudnya: sampaikanlah kepadaku walau satu ayat...(sayyidina Ali r.a). Sebarkan.

---Sumber: Maznita Masran/RapidKL, Tue Jan 6, 2009 05:35 pm---

Saturday, December 27, 2008

Rahsia Kelebihan Solat Tahajjud

Pada paras alfa, frekuensi otak berada dalam lingkugan 7 hingga 14 kitaran persaat. Paras ini merupakan paras seseorang dapat berhubung dengan minda bawah sedar dengan aktif. Pada paras ini seseorang akan berada dalam keadaan pertengahan antara 'sedar dengan lena'. Aktiviti minda pada ketika ini dalam keadaan tenang,santai dan rehat. Pada tahap ini anda akan berada dalam tahap kesedaran yang tinggi.

Paras alpha amat penting kerana anda dapat meneroka dan mengekstrak kemampuan minda anda. Pada ketika ini minda dan jiwa anda begitu hening sehingga anda berada pada tahap fokus yang tinggi. Fikiran anda begitu terang dan jelas dan mampu menjana minda bawah sedar pada tahap yang tinggi.

Paras ini adalah sepertimana anda hampir-hampir hendak tertidur. Malangnya anda tidak dapat kekalkan keadaan ini. Hanya waktu yang singkat sahaja anda berada pada paras alfa ,lalu anda tertidur.Ini berlaku secara semulajadi.

Walaubagaimanapun, paras alpha boleh dicapai dengan menurunkan secara sengaja frekuensi otak ke tahap yang lebih rendah daripada keadaan sedar.

Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Rasulullah bersabda, 'Tuhan kita Yang Mahasuci dan Mahatinggi turun ke langit dunia. setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang akhir dengan berfirman, 'Siapakah yang mau berdoa kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapakah yang mau meminta kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapa yang mau meminta ampun kepada-Ku lalu Aku ampuni?'"

Salah satu caranya ialah dengan anda melakukan qiaimulail. Pada ketika ini apabila anda bangun tidur terutamanya pada pertengahan malam, otak anda dalam keadaan hening dan tenang. Paras kortisol amat rendah pada waktu ini.

"Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." (Surah Huud:114)

Anda sebenarnya masih dalam keadaan yang mengantuk seperti mahu tidur lagi.Apabila anda melaksanakan solat tahajud misalnya, anda seperti hendak tertidur tetapi masih dalam keadaan berjaga.Pada ketika ini anda sebenarnya berada pada pertengahan antara sedar dan lena yang mana anda sebenarnya pada pada tahap frekuensi alpha . Bila anda dengan sengaja melakukan solat tahajud, anda dapat berada lebih lama dalam keadaan alpha.

Inilah salah satu rahsia kehebatan solat tahajud pada ketika kita melakukan qiaimulail.Begitu juga dengan amalan-amalan berzikir,membaca alquraan, muhasabah diri dan beristiqfar pada melakukan ibadah qiaimulail pada pertengahan malam adalah merupakan aktiviti yang mana meletakkan anda pada tahap paras alpha.

Pada tahap ini kesedaran dan fokus anda anda begitu tinggi hinggakan emosi anda akan lebih jelas iaitu seperti apabila anda mengenangkan dosa-dosa dan takut kepada azab Allah , hati anda akan mudah tersentuh dan anda benar-benar dapat merasakan kehebatan,kebesaran dan keagungan Allah. Mata hati anda akan menjadi terang supaya anda benar-benar bersungguh-sungguh untuk membuat persediaan bekalan untuk menghadapi kematian anda pada bila-bila masa .

---Sumber: penawarku@yahoogroups.com (http://mindataqwa.blogspot.com), Sun Dec 7, 2008 10:52 am---

Friday, March 7, 2008

At-Thaharah - Bersuci


PENGERTIAN BERSUCI

Firman Allah swt maksudnya, "Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri" (Al Baqarah : 222)

Definisi Bersuci
Bahasa - Suci & Bersih
Syara' - Suci & Bersih daripada najis & hadas.

Hukum bersuci adalah WAJIB kepada tiap-tiap lelaki & perempuan kerana ia merupakan anak kunci dan syarat sah sembahyang.....

Bersuci atau At Thaharah ialah suatu pekerjaan yang dilakukan bagi menghilangkan hadas atau najis yang ada di badan, pakaian atau tempat tinggal kita. Ia mesti dibersihan supaya kita boleh melakukan ibadah. Di dalam ajaran Islam bersuci adalah sesuatu yang WAJIB. Sebahagian dari bersuci adalah berwuduk, mandi dan membersihkan najis dari badan.

JENIS-JENIS BERSUCI

1. Bersuci dari hadas kecil.
Apabila kita berada dalam keadaan begini kita dilarang dari mengerjakan sembahyang dan menyentuh Al Quran. Cara untuk menyucikan ialah dengan mengambil wuduk ataupun bertayammum.

2. Bersuci dari hadas besar.
Mereka yang berjimak, haid dan nifas adalah termasuk di dalam golongan ini. Cara bersuci daripadanya ialah dengan mandi junub. Perkara yang ditegah dari melakukannya seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca Al Quran.

3. Beristinjak.
Ia bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.

ISTINJAK

RUKUN ISTINJAK

Rukun istinjak ada 3 iaitu :
1. Islam
2. Menggunakan air, batu, kertas, daun dan benda keras yang suci
3. Najis itu mestilah keluar dari qubul dan dubur

SUNAT-SUNAT ISTINJAK
1. Haruslah dilakukan dengan bilangan yang ganjil seperti 3x, 5x atau 7x dan seterusnya.
2. Menggunakan tangan kiri

BERISTINJAK DENGAN BATU

Syarat-syarat menggunakan batu atau lain-lain benda yang keras ialah:

1. Pastikan benda tersebut tidak mengalir
2. Pastikan najis belum kering
3. Pastikan tempat keluar najis tersebut tidak terhalang oleh benda-banda lain

BERISTINJAK DENGAN AIR

Perlakuannya ialah lebih kurang sama dengan batu. Terlebih dahulu mestilah dibersihkan sehingga hilang 3 perkara iaitu bau, warna dan rasa. Apabila selesai disunatkan membaca doa.

BENDA-BENDA BERNAJIS

Antara benda-benda najis menurut Islam adalah seperti berikut :
1. Semua jenis bangkai binatang darat dan laut yang berdarah melainkan mayat manusia. Bianatang darat dan laut yang tidak berdarah dianggap suci.
2. Darah kecuali hati dan limpa
3. Semua jenis benda yang keluar dari qubur dan dubur
4. Nanah kerana ia terhasil dari darah yang kotor
5. Arak dan semua jenis minuman yang memabukkan
6. Bahagian binatang yang diambil dari badannya semasa ia masih hidup

JENIS-JENIS NAJIS

Terdapat 3 jenis najis yang boleh diklasifikasikan dalam Islam iaitu:

1. NAJIS MUGHALLAZAH
Iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuh badannya.
- Cara menyucikannya ialah dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan 6 kali dengan air yang bersih

NAJIS MUKHAFFAFAH
Iaitu najis ringan seperti air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur 2 tahun kebawah dan hanya memakan susu ibunya sahaja.
- Cara menyucikannya ialah memadai dengan memercikkan air ke atas benda yang terkena najis itu kemudian lapkannya

NAJIS MUTAWASSITAH
Iaitu najis pertengahan. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian :

(a) Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang. Najis ini disucikan dengan mengalirkan air keatasnya

(b) 'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya.

JENIS-JENIS AIR

Terdapat 5 jenis air iaitu :

1. AIR MUTLAK
Sifatnya adalah suci lagi menyucikan. Air ini boleh digunakan bagi menyucikan benda lain. Contohnya air hujan, laut, perigi, air mata air, salji, sungai dan air embun

2. AIR MUQAYYAT
Sifatnya adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan. Air ini tidak sah digunakan untuk menyucikan benda lain seperti air kopi, teh, air buah-buahan dan sebagainya.

3. AIR MUTANNAJJIS
Air ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

(a) Telah berubah salah satu sifatnya iaitu warna , bau dan rasa dengan najis. Air ini tidak boleh digunakan lagi sama ada banyak ataupun sedikit.

(b) Air bernajis tetapi tidak berubah sifatnya. Air ini jika kurang dari 2 kolah (lebih kurang 13 tin minyak tanah) tidak boleh digunakan lagi tetapi jika 2 kolah atau lebih maka hukumnya suci lagi menyucikan.

4. AIR MUSYAMMAS
Ialah air yang terjemur di tengah pancaran matahari dalam bekas selain dari bekas emas dan perak. Ianya makruh digunakan untuk badan tetapi tidak untuk pakaian

5. AIR MUSTAGHMAL
Ialah air yang telah digunakan untuk menyucikan benda-benda lain dan sukatannya adalah kurang dari 2 kolah. Air ini tidak sah digunakan untuk bersuci walaupun tidak berubah sifatnya.

*** Sumber rujukan: http://www.e-zakat.com.my/baru/ibadah/bersuci.asp

Monday, January 28, 2008

Maksud Bacaan di Dalam Solat


Salam buat semua muslimin/muslimat. Sedikit ilmu utk dikongsi bersama....

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." ---> Surah Al Baqarah (Ayat 277)

Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, Hidupku, Matiku Adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika i'tidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, Kayakan daku, Angkatlah darjatku, rezekikan daku, Berilah aku hidayah, Sihatkanlah daku dan Maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Selamat sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu

Selamat sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.